Soal Jawab
Bersama: [
Dr Mashitah 1 |
Dr
Mashitah 2 |
Dr Mashitah 3 ]
Soalan-soalan:
CARA HINDARI
MAKSIAT.
Soalan 21: Datuk. Saya berumur 20-an dan
pernah dijadikan tempat untuk melampiaskan nafsu oleh bapa
angkat saya ketika kecil.
Sejak kejadian itu, saya seakan-akan ketagih untuk melakukan
hubungan seks. Kadang kala saya beronani kerana tidak tahan
melawan nafsu.
Adakah saya berdosa kerana melakukan perkara tersebut dan apakah
yang sewajarnya saya lakukan bagi mengelak melakukan onani?
Perlukah saya berkahwin?
-SUMAYYAH
Jawapan: Allah tidak akan mengharamkan sesuatu perkara
melainkan menghalalkan perkara lain sebagai ganti.
Jika berzina dan onani itu dilarang maka yang halal bagi manusia
untuk melampiaskan nafsu ialah menerusi perkahwinan.
Jikalau sudah terlanjur melakukan perkara maksiat dan tidak
bertaubat, ia akan menjadi satu ketagihan.
Seeloknya melakukan taubat dan memohon ampun daripada Allah.
Kemudian carilah lelaki yang baik untuk berkahwin secara halal
dan memenuhi sunnah Nabi.
Penuhilah kehidupan dengan aktiviti berguna dan mencari ilmu
supaya tidak tersasar.

BIMBANG
BERMENANTUKAN ANAK LUAR NIKAH
Soalan 22: Assallamualaikum. Saya pernah terbaca dalam
sebuah majalah yang mengatakan anak luar nikah seelok-eloknya
tidak patut dibuat menantu.
Sudahlah dilahir dalam keadaan begitu, tidak dapat mewarisi
harta keluarga angkat, malah tidak layak dijadikan menantu.
Apakah hak dan ke mana arah golongan ini?
-ROHANI
Jawapan: Anak luar nikah memang tidak mempunyai hak
mewarisi harta keluarga angkat.Ramai yang takut menjadikan anak
luar nikah sebagai menantu dan ahli keluarga kerana bimbang anak
ini akan mewarisi sedikit sebanyak perangai ibu bapanya yang
liar.
Tidak dapat dinafikan keperibadian seseorang manusia dipengaruhi
pelbagai faktor antaranya ialah baka kedua-dua ibu bapa,
pendidikan, persekitaran, hidayah Allah dan juga pengaruh media.
Bagaimanapun, anak ini tidak berdosa, sebaliknya yang berdosa
adalah ibu bapanya. Masyarakat tidak boleh menghukum mereka
kerana yang patut menerima hukuman ialah ibu bapanya.
Jika dididik dengan baik dan sempurna mereka juga akan menjadi
baik.Bagi golongan ini, mereka perlu membuktikan pada masyarakat
mereka boleh menjadi anak yang soleh dengan pendidikan yang baik.

TIDAK TAHU AIR
NAJIS
Soalan 23: Assallamualaikum. Saya pernah menggunakan air
dalam sebuah baldi untuk mencuci kaki tapi saya tidak mengetahui
air itu sudah dicemari anjing beberapa hari lalu. Adakah ia
najis sedangkan saya tidak tahu air itu tercemar?
-AWANG, Sabah
Jawapan: Nabi Muhammad ada menyebut bahawa diangkat dosa
daripada tiga pelakunya iaitu yang lupa (tidak tahu), yang
tertidur dan yang terpaksa. Dalam kes ini, jika saudara tidak
tahu dan tidak dimaklumkan ketika menggunakan air yang sudah
tercemar itu, maka ia dimaafkan. Bagaimanapun sebaik saja
saudara tahu bahawa air itu najis, maka adalah wajib dibersihkan
dengan menyamak anggota yang dirasakan terkena.

DOA UNTUK
KAWAN BUKAN ISLAM.
Soalan 24: Salam, saya ingin kepastian, apakah hukum
mendoakan orang yang bukan beragama Islam? Saya berkawan dengan
orang yang bukan beragama Islam, bolehkah saya berdoa memohon
agar hubungan saya dengan dia kekal dan agar dibukakan hatinya
untuk memeluk agama Islam? Adakah ianya salah di sisi Islam?
-FARAHANI, Kuala Lumpur
Jawapan: Berdoa memohon Allah memberi hidayah dan membuka pintu
hati orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam adalah harus.
Selama mana mereka masih hidup ianya dibolehkan dan yang
dilarang adalah mendoakan jenazah atau orang bukan Islam yang
sudah mati.

SOLAT ISYAK
TENGAH MALAM
Soalan 25: Assallamualaikum. Saya ada kemusykilan mengenai
solat sunat Tahajud kerana kebiasaannya selesai solat Maghrib,
saya akan tertidur akibat kepenatan dan akan terjaga pada tengah
malam untuk solat Isyak. Sekiranya saya ingin solat sunat
Tahajud, adakah saya perlu solat Isyak dulu atau solat sunat
dulu atau mana-mana pun boleh?
Apakah hukumnya saya mengerjakan solat sedemikian? (solat Isyak
lewat). Kerana saya pernah terdengar bahawa solat Isyak lewat
adalah afdal sedangkan kita disarankan solat pada awal waktu.
-ARA
Jawapan: Sebaik-baik solat adalah yang dikerjakan pada
awal waktu. Sebaiknya kerjakanlah solat Isyak sebelum tidur pada
waktu malam. Bagaimanapun jika kepenatan boleh saja dilakukan
selama mana masih ada waktu iaitu dari habis Maghrib hingga
waktu solat Subuh. Tamatnya waktu Isyak ialah sebelum terbit
fajar. Jika terdengar azan Subuh, maka solat Isyak tidak sah,
kerana sudah masuk waktu Subuh.
Harus melewatkan solat Isyak jika yakin dapat bangun untuk
mengerjakannya dan apabila bangun, laksanakan yang wajib
terlebih dulu barulah dikerjakan solat sunat.

BERDOSA UNGKIT
SEDEKAH
Soalan 26: Assallamualaikum. Saya pernah mengalami kesulitan
dalam hidup dan teman lelaki banyak membantu di segi kewangan.
Dia pernah berkata apa saja pemberiannya dia halalkan dunia dan
akhirat tetapi apabila kami bergaduh, dia akan mengungkit dan
meminta saya menjelaskan kesemua pemberiannya. Kini, kami sudah
tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dan apa hukumnya jika dia
tidak menghalalkan semuanya? Mohon penjelasan Datuk.
-NINA, Melaka
Jawapan: Semuanya bergantung pada niat si pemberi kerana jika
ketika teman lelaki memberi wang pada saudari dia melafazkan
sedekah dan hadiah maka berdosa mengungkit sedekah yang diberi.
Dia jua sudah mengatakan bahawa dia menghalalkan pemberiannya
maka bererti semuanya sudah dihalalkan. Namun, adalah lumrah
manusia ketika hati marah dan sakit, semua kebaikan akan
diungkit semula. Usahlah terlalu diperbesarkan hal ini kerana
punca teman lelaki saudari mengungkit adalah jelas kerana
saudari memutuskan hubungan dengannya.

HUKUM MENYERTAI
MLM
Soalan 26: Assallamualaikum, Saya pernah menyertai program
Multi Level Marketing (MLM) sejak Oktober tahun lalu. Tetapi
baru-baru ini
saya dimaklumkan program itu ditutup sehingga merugikan ramai
orang terutamanya yang baru menyertainya.
Saya mendapat keuntungan kira-kira RM30 hingga RM60 melalui
kemasukan ahli baru dan sehingga kini saya memperoleh kira-kira
RM6,000.
Namun, apa yang memusykilkan saya, adakah saya seolah-olah makan
hasil usaha orang lain tanpa berbuat apa-apa sebaliknya hanya
tunggu dan lihat.
Adakah wang yang diperoleh tanpa sebarang usaha dianggap haram?
Sehingga kini saya tidak pernah menggunakan wang berkenaan
kerana khuatir ia dikira haram.
Jika benar wang itu haram, bagaimana harus saya pulangkan wang
itu semula? Adakah saya boleh menggunakannya jika ia tidak
dikategorikan sebagai haram?
-KASSIM
Jawapan: Semoga Allah memberkati hidup saudara yang mahu
mencari rezeki yang halal. Perniagaan berasaskan MLM dan
sebagainya adalah
harus dengan syarat ia tidak mengandungi unsur-unsur judi,
penipuan, unsur penindasan, riba dan terdapat akad jual beli.
Panel Kajian Syariah Jakim mendapati bahawa konsep, struktur dan
undang-undang Perniagaan MLM yang diluluskan oleh Kerajaan
adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam
yang diputuskan dalam Muzakarah Fatwa Ulama pada Februari
2004.
Islam menetapkan bahawa setiap urusan jual beli mestilah bersih
daripada unsur- unsur perbuatan penipuan, merampas, khianat,
riba, judi, rasuah, mencuri dan putar belit. Perniagaan dianggap
halal sekiranya tiada unsur-unsur yang dinyatakan di atas.
Keuntungan yang diperoleh adalah daripada hasil usaha yang
setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan.
Jika hati saudara sendiri berasa tidak tenteram, maka sedekahkan
wang itu atau gunakan ke arah kebajikan. Dalam sebuah hadis,
Rasulullah bersabda: “Kebaikan ialah apa yang menenangkan hatimu
dan keburukan ialah apa yang menimbulkan keresahan di
hatimu”.

BINTI BAPA ANGKAT
Soalan 27: SAYA ada masalah berkenaan nama saya, yang mana
sejak kecil saya dibintikan dengan nama kenalan mak ayah saya.
Ini bertujuan
untuk membuat kad pengenalan.
Namun ketika bernikah, saya masih berbintikan dan berwalikan
bapa kandung.
Adakah saya berdosa menggunakan nama orang lain dalam kad
pengenalan untuk melakukan urusan harian? Saya risau bila ajal
saya
sampai, keluarga saya akan menggunakan nama berkenaan.
Seperkara lagi, saya juga ada masalah cepat lupa sejak diserang
penyakit sawan. Setiap kali solat, pasti ada surah yang saya
lupa
seperti ayat Kursi dan ayat antara dua sujud.
Saya cuba menghafalnya tetapi masih tak dapat mengingatinya
dengan sempurna. Adakah solat saya sempurna?
-EMMA
Jawapan: Masalah pendaftaran nama dengan menggunakan nama
bapa angkat boleh diselesaikan di Jabatan Pendaftaran Negara.
Ada pelbagai alasan orang menggunakan nama orang lain untuk
membuat kad pengenalan, namun hati puan akan tenang bila
mengubah kepada nama ayah sendiri di JPN.
Bagi permasalahan kedua, mereka yang sering lupa sehingga
terbawa dalam ibadat disebabkan penyakit seperti sawan yang puan
alami adalah dimaafkan. Buat sekadar termampu.
Jika lupa ayat panjang seperti ayat Kursi, baca ayat pendek. Doa
antara dua sujud hanya sunat, jadi jika terlupa pun tiada
masalah.
Soal Jawab
Bersama: [
Dr Mashitah 1 |
Dr
Mashitah 2 |
Dr Mashitah 3 ]