|
Soalan-soalan:
11-
Sengaja tinggal solat dianggap kufur
12-
Suami lepas tangan
13-
Mimpi basah tak batalkan puasa
14-
Ingin berubah tapi abai solat
15-
Najis di jalanan dimaafkan
16-
Sapu muka selepas salam
17-
Musykil status perkahwinan
18-
Keliru mandi wajib yang betul
19-
Hukum makanan yang disembah kepada berhala
20-
Berubat dengan pengamal tanpa tauliah
SENGAJA TINGGAL SOLAT DIANGGAP KUFUR
Soalan 11:
SETAHU saya ada hadis yang diriwayatkan,
menyatakan mereka yang tidak mengerjakan solat hukumnya kafir. Saya
keliru dalam perkara ini dan bolehkah Dr jelaskan hukum terbabit?
- NAS, Pulau Pinang.
Jawapan:
MEMANG ada hadis yang menyatakan perbezaan antara
orang beriman dan orang kafir ialah solat. Mereka yang meninggalkan
solat dengan mengingkari kewajipannya digolongkan sebagai kafir,
iaitu terkeluar daripada Islam secara ijmak.
Mereka yang meninggalkannya secara sengaja dikira sebagai kufur dan
dihukum bunuh menurut hadis. Bagaimanapun, ada ulama mengatakan
orang sedemikian fasik dan diminta segera bertaubat. (Sabiq, I:
64-66)

SUAMI LEPAS TANGAN
Soalan 12:
SAYA berusia 35 tahun dan suami 42 tahun,
berkahwin 14 tahun dengan empat anak. Saya dapati suami seorang yang
kurang mementingkan hal berkaitan agama, malah bersikap lepas tangan.
Contohnya, solat lima waktu dan puasa tidak pernah cukup. Suami juga
tidak mengambil berat mengenai peranannya dalam keluarga, walaupun
kelihatan sangat bertanggungjawab seperti berkerja, membantu kerja
rumah, menjaga anak-anak dan sebagainya.
Disebabkan pendapatannya tidak seberapa, kira-kira RM1,500 sebulan,
saya mengambil inisiatif untuk bekerja membantu keluarga dengan
pendapatan tetap RM1,500, tidak termasuk elaun dan kerja lebih
masa.Berikutan itu, suami bersikap lepas tangan daripada membeli
keperluan rumah, dapur dan anak dengan alasan saya ada pendapatan
sendiri.
Pada mulanya saya tidak berkira tetapi lama-kelamaan apabila dia
terlalu bergantung dengan pendapatan saya, menyebabkan saya mula
risau. Apa akan jadi jika saya tidak berkerja atau diberhentikan?
Bagaimana cara untuk memujuk suami agar boleh menjadi contoh yang
baik pada anak-anak? Saya pernah mengadu kepada mentua tetapi mereka
mengatakan membantu suami itu keperluan masa kini.
Saya tidak pernah mengadu kepada ibu bapa sebelum mereka meninggal,
kerana khuatir berlaku perselisihan faham. Saya juga tidak mahu
teguran saya nanti menimbulkan ketegangan atau nusyuz.
- ISTERI KELIRU, Kedah.
Jawapan 12:
MEMBERI nafkah kepada keluarga adalah
tanggungjawab suami. Ini ditetapkan Islam. Apabila isteri bekerja
dengan izin suami dan berniat untuk menampung keperluan keluarga ia
dibenarkan.Bagaimanapun, apabila suami mengabaikan tanggungjawabnya
yang sebenar dan kemudiannya membebankan isteri dengan tanggungjawab
itu, masalah akan timbul. Suami sepatutnya malu apabila berbuat
demikian.
Sebagai isteri yang bertanggungjawab dan tidak mahu menghancurkan
rumah tangga dengan sebab faktor ekonomi semata-mata, anda boleh
menasihati suami dengan sebaik mungkin. Ini untuk kepentingan
keluarga dan anak-anak.Cuba cari waktu yang sesuai untuk berbincang
dari hati ke hati. Semoga ia dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Menurut Islam, perdamaian antara suami isteri adalah yang sebaiknya
daripada bercerai berai. Anda mungkin boleh bertolak ansur dengan
suami mengenai perbelanjaan keluarga.
Sifat terbaik adalah murah hati berbanding dengan bakhil. "Dan jika
seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz, atau
tidak melayaninya, maka tidak salah membuat perdamaian di antara
mereka berdua, kerana perdamaian itu lebih baik; sedang sifat bakhil
itu memang tabiat semula jadi manusia. Dan jika kamu berlaku baik
dan mencegah diri (daripada kezaliman), maka sesungguhnya Allah
adalah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.
(al-Quran, an-Nisa' (4): 128)
Bagaimanapun, sekiranya anda berasa dizalimi, anda boleh mengambil
langkah-langkah lain seperti mengadu di mahkamah dan sebagainya.

MIMPI BASAH TAK BATALKAN PUASA
Soalan 13:
KETIKA tidur pada siang hari di bulan Ramadan,
saya bermimpi hingga mengeluarkan air mani. Selepas terjaga, saya
menganggap puasa saya terbatal, lalu minum sedikit air.
Selepas itu, saya mendapat tahu yang puasa tidak batal sekiranya
keluar mani tanpa sengaja. Jadi, adakah puasa saya terbatal atau
sebaliknya?
- ASRULNIZAM, Terengganu.
Jawapan 13:
PUASA menjadi batal apabila makan dan minum
secara sengaja. Dengan itu anda hendaklah mengganti (qada) puasa
terbabit. Itulah yang sebaiknya. Keluar air mani tanpa sengaja
seperti bermimpi tidak membatalkan puasa. Itulah penting ilmu dalam
mengamalkan ajaran Islam.

INGIN BERUBAH TAPI ABAI SOLAT
Soalan 14:
DALAM Islam untuk mencari jodoh perlu pada akhlak
dan agamanya. Teman lelaki saya berakhlak baik dan bertanggungjawab
tetapi dia sering mengabaikan solat. Saya sering menasihatinya dan
dia boleh menerimanya, malah berjanji akan berubah.
Tetapi apabila kami keluar ke mana-mana dia seperti biasa
meninggalkan solat. Adakah saya perlu memutuskan hubungan dengannya
atau terus menasihatinya kerana saya berniat apabila kami berkahwin
nanti kehidupan beragamanya lebih teratur. Apabila berlaku
sebaliknya, itu yang merunsingkan saya. Mungkin selepas berkahwin
dia akan memberontak dan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya.
Apa pendapat Dr?
- KELIRU Subang Jaya.
Jawapan:
MEMPUNYAI akhlak yang baik termasuk dalam kategori
beragama yang dikehendaki Islam. Tujuan Islam ialah melahirkan insan
yang benar berakhlak mulia dan baik. Nabi s.a.w pernah bersabda,
maksudnya: "Sesungguhnya aku hanya diutuskan adalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia."
Kisah Nabi Yusuf a.s dalam al-Quran mengingatkan kita bagaimana
baginda memelihara rohani dan jasmaninya daripada terjebak ke lembah
hawa nafsu manusia. Antara akhlak mulia yang perlu diterapkan ialah
ketakwaan kepada Allah, mengikut sunnah nabi, berpaling dan mengelak
diri daripada hal yang tidak bermanfaat, reda dengan segala
pemberian Allah dan kembali kepada Allah dalam semua perkara.
Saya berpendapat teman anda adalah seorang baik dan boleh diajak ke
arah kebaikan. Dalam melaksanakan fardu solat, kesedaran sendiri
adalah penting. Di samping itu, beliau hendaklah sentiasa diingati.
Ini kerana solat tiang agama. Mendirikan solat bererti menjaga agama
dan asas akhlak. Ia juga asas kepada kebahagiaan keluarga.
Seorang yang mengamalkan tanggungjawabnya kepada Allah tentu lebih
bertanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. Sebelum anda
mengambil apa-apa keputusan sama ada memutuskan hubungan atau tidak,
anda hendaklah terlebih dulu memberitahu prinsip anda dalam memilih
pasangan hidup supaya beliau tahu.
Keluarga pula hendaklah memilih jodoh anak perempuannya daripada
kalangan orang yang taat kepada agama. Saya juga ingin menasihati
anda supaya tidak terlalu bebas bergaul dengan mana-mana lelaki
sehingga boleh membawa kepada maksiat seperti keluar berdua-dua
tanpa mahram.

NAJIS DIJALANAN DIMAAFKAN
Soalan 15:
SAYA melalui suatu kawasan dan tiba-tiba di
sebelah jalan yang saya lalui saya terlihat najis (yang dikhuatiri
najis anjing) lama kerana ia kering dan hancur sedikit.
Ini membuatkan saya was-was sama ada terpijak cebisan najis terbabit
atau tidak. Saya bertanya kepada rakan, adakah perlu saya menyamak
alas kaki yang dipakai atau tidak dan dia menyatakan tidak perlu.
Adakah ia benar? Yang merunsingkan saya, hal ini sudah lama berlaku
dan alas kaki itu dipakai di merata-rata tempat. Bagaimana dengan
kawasan yang saya lalui itu? Bolehkah saya mengabaikan hal itu
kerana saya tidak dapat pastikan sama ada ia najis anjing atau najis
kucing?
- EN, Kuala Lumpur.
Jawapan:
SECARA umum najis di jalanan dimaafkan. Dengan itu
alas kaki tidak perlu disamak. Jika alas kaki terkena najis memadai
dengan mengesatkannya beberapa kali di tanah untuk menghilangkan dan
membersihkan najis itu.
Ia tidak perlu disamak. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Apabila
kamu terpijak kotoran dengan alas kakinya, sesungguhnya tanah adalah
penyucinya." (Sabiq, 2000: I: 20)

SAPU MUKA SELEPAS SALAM
Soalan 16:
SAYA ingin bertanya, apakah hukum seorang itu
melakukan solat dan selepas memberi salam ke kanan dan kiri dia
tidak menyapu tangan ke muka? Amalan seperti itu dari mazhab yang
mana?
- KELIRU, Selangor.
Jawapan: TIDAK menyapu muka selepas solat tidak menjejaskan
solat. Ini kerana solat sudah selesai dengan memberi salam yang
pertama. Solat dimulai dengan takbir dan disudahi dengan
salam.Bagaimanapun, amalan menyapu muka selepas memberi salam
diamalkan masyarakat Melayu kerana ada asasnya.
Ia termasuk dalam perkara sunat dan begitu dengan wirid selepas
solat. Ia tidak dibuat semata-mata menambah-nambah atau
memandai-mandai saja.Semua amalan Islam terutama dalam ibadat dan
sebagainya merujuk sumber hukum iaitu al-Quran, sunnah, ijmak dan
qiyas.
Ini jelas apabila kita dapati Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani
dalam kitabnya Munyat al-Musalli (hal 18) menyebut mengenai amalan
menyapu muka selepas menunaikan solat seperti berikut:
" ...Adapun sunat yang dikerjakan kemudian daripada sembahyang, maka
adalah Nabi s.a.w apabila selesai daripada sembahyang menyapu dengan
tangannya di atas kepalanya dan dibacanya: "Bismillahi ladhi la ilah
illa huwa al-rahman al-rahim Allahumma adhhab 'anni al-hamm wa al-hazan"
[Maksudnya, Dengan nama Allah yang tiada Tuhan selain Dia yang Maha
Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala
kerunsingan dan kedukaan].
Kitab karangan Syaikh Daud adalah sumber utama rujukan perihal cara
solat. Ia termasuk kitab fiqah ibadat mengikut mazhab Shafie.

MUSYKIL
STATUS PERKAHWINAN

Soalan 17:
SAYA sudah berkahwin selama 15 tahun. Ketika kami mula berkahwin,
saya mengandung anak pertama selepas terlanjur. Adakah perkahwinan
saya itu sah dan kerana kami berkahwin ketika mengandung? Saya
berhasrat mengajak suami berpisah kerana musykil dengan status
perkahwinan kami ini.
-ISTERI GELISAH, Sarawak.
Jawapan:
PERKAHWINAN itu tetap sah apabila memenuhi syarat perkahwinan dalam
Islam. Anda berdua tidak perlu berpisah atas rasa ragu dengan status
perkahwinan terbabit. Larangan Islam daripada hubungan sebelum
perkahwinan adalah untuk mengelakkan perkara di atas. Allah itu Maha
Pengampun dan Maha Penyayang. Dengan itu mohonlah kepada Allah atas
kesalahan dan keterlanjuran itu. Semoga kita semua terhindar
daripada dosa zina.

KELIRU
CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Soalan 18:
Saya seorang remaja wanita dan berharap Dr memberi penerangan cara
mandi wajib yang sebetulnya kerana saya masih was-was
apa yang saya lakukan selama ini sama ada betul atau tidak.
Saya juga mendapati kawan saya mandi wajib dengan cara yang berbeza.
Ini penting kerana ia berkaitan dengan cara menyucikan diri
yang Islam anjurkan.
- ILA ,Selangor
Jawapan:
Secara umumnya mandi wajib mempunyai peraturannya dan perlu diikut.
Pertama, niat dengan lafaz 'sahaja aku mengangkat hadas besar kerana
Allah Taala' atau 'sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.'
Bagi wanita adalah lebih lagi untuk menentukan mandi wajib itu
kerana haid dan nifas ketika niat. Niat hendaklah dilakukan ketika
air
mula sampai ke badan. Kedua, menghilangkan najis di badan sama ada
yang jelas ('ayni) atau tidak jelas (hukmi).
Ketiga, menyampaikan air ke seluruh anggota badan dari hujung rambut
sehingga ke hujung kaki. Apabila anda menunaikan ketiga-
tiga perkara itu mandi wajib anda menjadi sah.
Antara perkara sunat yang boleh dilakukan ketika mandi wajib
termasuk
(1) mengadap kiblat
(2) membaca basmalah
(3) membasuh dua tapak tangan
(4) mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum mandi
(5) menggosok seluruh anggota badan dengan tangan
(6) berturut-turut (muwalat) tanpa putus-putus
(7) tertib dengan mendahulukan perkara yang perlu didahulukan dan
(8) membasuh sebanyak tiga kali (Haji Mohamed bin Jusoh, 1990).
Perkara sunat ini dilakukan untuk mendapat kesempurnaan dan ganjaran
pahala.

HUKUM
MAKAN MAKANAN YANG DISEMBAH KEPADA BERHALA

Soalan 19:
ADAKAH haram jika kita memakan makanan yang diberi orang bukan
Islam? Di tempat kerja, saya diberi makanan seperti buah, biskut,
keropok, air kotak dan makanan ringan yang mempunyai tanda halal,
tetapi makanan itu digunakan orang beragama Buddha untuk tujuan
sembahyang.
Selepas selesai upacara, makanan itu diberikan kepada saya. Saya
ingin tahu sama ada saya boleh memakan atau tidak?
HAIKAL, Pulau Pinang
Jawapan:
SECARA umumnya makanan halal diberi bukan Islam boleh diterima dan
boleh dimakan.
Makanan yang digunakan orang beragama Buddha untuk sembahyang
seperti buah, keropok, air kotak dan makanan ringan yang
mempunyai tanda halal, ada pendapat yang masih membenarkannya.
Ini kerana ia termasuk dalam harta yang boleh dimanfaatkan dan jika
dibiarkan membawa pembaziran.
Rasulullah s.a.w diriwayatkan pernah menggunakan harta simpanan pada
berhala al-Laata untuk membayarkan hutang sahabat Baginda.
Ini berlainan dengan daging sembelihan orang Musyrik yang dikira
sebagai bangkai. Ia pula disembelih bukan atas nama Allah.
Bagaimanapun, binatang yang masih hidup boleh diambil dan disembelih
kerana ia seperti harta tinggalan. Pemberian berupa biskut
apabila habis upacara itu anda boleh mengambilnya.
Anda dinasihat berdakwah kepada bukan Islam supaya tidak melakukan
perbuatan memberi makan kepada berhala yang tidak memberi sebarang
faedah sama sekali.
Dengan akal yang sihat tentu mereka dapat berfikir bahawa perbuatan
itu sia-sia dan hanya bertaklid kepada tradisi.
Hadis Rasulullah yang bermaksud: "Yang halal itu jelas dan yang
haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat
(syubhat, tidak jelas halal-haramnya) yang tidak diketahui oleh
kebanyakan manusia.
"Barang siapa yang menjaga hal musyabbihat, maka ia membersihkan
kehormatan dan agamanya. Dan barang siapa yang terjerumus dalam
syubhat, maka ia seperti pengembala di sekitar tanah larangan,
hampir ia terjerumus ke dalamnya.
"Ketahuilah bahawa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan
ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal yang
diharamkan-Nya." (Bukhari)

BERUBAT
DENGAN PENGAMAL TANPA TAULIAH
Soalan 20:
SAYA pernah mendengar cakera padat video (VCD) ceramah agama yang
penceramahnya mengatakan bahawa haram hukumnya jika kita berubat
dengan pengamal perubatan yang tidak bertauliah.
Maksud saya, pengamal perubatan itu mendapat ilmunya tanpa berguru
atau merujuk kepada kitab.
Jadi adakah haram jika saya mendapatkan rawatan perubatan daripada
pengamal perubatan Islam yang merawat pesakit melalui ayat al-Quran
untuk dibaca dan diamalkan.
Pengamal perubatan berkenaan ada memaklumkan bahawa ilmu perubatan
yang diperolehnya adalah melalui izin Allah dan dia tidak pernah
berguru atau mempelajari ilmu itu dengan sesiapa.
Dia juga mendakwa tidak menggunakan perantaraan (sama ada melalui
jin, jin Islam, khadam, syaitan atau iblis) dalam perubatannya.
-IRA, Kuala Lumpur
Jawapan:
PADA kebiasaannya pengamal perubatan seperti bomoh, dukun dan pawang
tidak mempunyai tauliah tertentu jika hendak dibandingkan dengan
doktor perubatan moden atau homeopati.
Menurut Kamus Dewan (2005: 1617), tauliah ialah pelantikan atau
surat kuasa menjadi wali (wakil, dan lain-lain). Tauliah biasanya
diberi oleh kerajaan dan pertubuhan profesional sebagai
pengiktirafan dalam bidang tertentu, contohnya tauliah mengajar
agama yang diberikan Jabatan Agama Islam negeri.
Pengiktirafan secara formal tidak berlaku kepada pengamal perubatan
Islam. Mereka hanya mendapat pengiktirafan masyarakat semata-mata
apabila terbukti dapat mengubati penyakit tertentu seperti gangguan
jin.
Ada pengamal perubatan terbabit mendapat ilmu melalui cara belajar
daripada guru dan ada melalui cara tidak langsung seperti mimpi.
Islam mengiktiraf kedudukan mereka asalkan cara perubatannya tidak
bertentangan dengan hukum dan ajaran Islam.
Sebagai umat Islam kita sepatutnya tahu mana yang salah dan mana
yang benar mengikut neraca syariah.
Dengan itu kita tidak mudah terpengaruh dengan ajaran salah. Nasihat
yang disampaikan dalam VCD berkenaan ada benarnya bagi menjaga
kepentingan masyarakat dan kebaikan bersama.
Anda boleh menilainya secara baik apabila memahami konteks ucapan
itu dibuat.
|