Soalan soalan:
21-
Solat isyak jam 5:30 pagi
22-
Masuk jari bukan zina
23-
Dilema walikan anak hasil zina
34-
Tunai haji dengan wang pinjaman
SOLAT ISYAK JAM 5:30 PAGI
Soalan 21:
Saya sedang mengandung anak keempat dan sudah mempunyai tiga
anak. Sebagai ibu dan yang bekerja, keadaan ini membuatkan saya
sangat letih dengan kerja rumah serta melayan kerenah anak.
Oleh itu, saya sering bangun tidur pada jam 5 pagi keesokannya
untuk menunaikan solat Isyak dan kadang-kadang tersasar hingga
jam 5.30 pagi. Adakah sah solat saya?
- INGIN TAHU, Selangor
Jawapan:
Setiap sembahyang fardu ada waktu yang tertentu. Ini jelas
apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "... sesungguhnya
sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang
yang beriman, yang tertentu waktunya." (al-Quran, al-Nisa' (4):
103). Bagi waktu solat Isyak ia bermula dengan hilangnya cahaya
yang merah di ufuk barat hingga naik fajar sadik sebelah timur
di waktu pagi. Dengan kata lain waktu solat Isyak sangat panjang
dari lepas waktu Maghrib hingga masuk waktu Subuh. Menunaikan
solat Isyak dalam waktu itu adalah sah seperti yang anda lakukan.
Ia adalah keringanan yang diberikan Allah bagi umat Islam. Apa
yang penting tanggungjawab kepada Allah wajib ditunaikan di
samping tanggungjawab yang lain yang anda lakukan.

MASUK JARI BUKAN ZINA
Soalan 22:
Apakah yang dimaksudkan dengan perlakuan zina?
Jika lelaki memasukkan jarinya ke dalam kemaluan wanita adakah
ia dikatakan perbuatan zina?
- ZIE, Johor
Jawapan:
Zina atau mukah adalah persetubuhan yang tidak sah atau haram (bukan
antara suami isteri) (Kamus Dewan 2005). Secara jelas zina
ditakrifkan sebagai menyetubuhi perempuan pada kemaluannya
secara haram tanpa sebarang syubhah dan tahu ia adalah haram.
Unsur fizikal zina adalah perbuatan memasukkan hasyafah (kepala
zakar) lelaki ke dalam faraj perempuan.
Segala bentuk persetubuhan tidak menepati syarat fizikal
berkenaan bukan zina, tetapi tetap perbuatan maksiat seperti
bercium, berpeluk, berkhalwat dan memasukkan jari ke dalam
kemaluan perempuan. Ia dikira sebagai percubaan melakukan zina (mukadimah
zina). Ia boleh dikenakan hukuman takzir saja dan bukan hudud
(100 kali sebatan bagi penzina bukan muhsan, iaitu yang belum
berkahwin)

DILEMA WALIKAN ANAK HASIL ZINA
Soalan 23:
Saya mempunyai masalah untuk menentukan wali anak kerana sebelum
berkahwin dengan isteri, saya melakukan kesilapan besar apabila
berzina dalam tempoh pertunangan.
Saya ada mendengar seorang ustaz mengatakan jika anak lahir
selepas enam bulan dari tarikh perkahwinan anak itu masih dikira
anak sah taraf dan bapanya boleh menjadi wali.
Persoalan saya adakah benar saya masih boleh menjadi wali kepada
anak saya?
- KELIRU, Kuala Lumpur
Jawapan:
MENGIKUT mazhab Syafie, tempoh hamil yang sabit nasab minimum
adalah selepas enam bulan qamariah (mengikut hitungan tahun
Hijrah) daripada tarikh perkahwinan.
Inilah yang dibenarkan Islam tanpa perlu ada keraguan. Dengan
itu seorang anak menjadi anak sah taraf daripada perkahwinan
yang sah. Bagi anak perempuan, bapa menjadi wali.
Tempoh enam bulan berdasarkan dua ayat al-Quran: "... sedangkan
tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh mencerai susunya
ialah dalam masa tiga puluh bulan. ..." (al-Ahqaf (46): 15), dan
seterusnya "... dan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa dua
tahun ..." (Luqman (31): 14).
Jadi dua tahun tolak tiga puluh bulan adalah enam bulan.
Bagaimanapun dengan berlaku dosa zina, anda menghadapi dilema
seperti di atas.
Ia adalah akibat daripada perbuatan sendiri. Penyelesaiannya
sama ada anda menerima seperti kenyataan di atas atau
menyerahkannya kepada wali hakim.

TUNAI HAJI DENGAN WANG PINJAMAN
Soalan 24:
Bolehkah saya membuat pinjaman bank bagi menghantar ibu bapa
menunaikan haji? Adakah sah haji mereka dengan wang itu?
Ini memandangkan ibu bapa saya sudah tua dan tiada l wang
simpanan mencukupi.
- MAN, Selangor
Jawapan:
Islam agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Contohnya,
mengerjakan rukun haji disyaratkan kepada yang mampu daripada
sudut kewangan.
Meminjam wang dari institusi kewangan bagi menunaikan haji tidak
digalakkan. Walaupun hukum meminjam itu mungkin pelbagai
berdasarkan keadaan, saya melihat pinjaman dengan tujuan
membolehkan ibu bapa menunaikan haji itu tidak baik.
Ini kerana seseorang yang ingin menunaikan haji hendaklah
menyelesaikan hutang terlebih dahulu. Walaupun niat anda baik
ingin membantu ibu bapa yang sudah tua, memilih cara meminjam
dan berhutang tidak kena pada tempatnya. Bagaimanapun, haji yang
ditunaikan tetap sah.

PINGGAN
KENA DAGING BABI PERLU DISAMAK
Soalan 25:
Saya tinggal bersama keluarga yang beragama Kristian dan sering
ke luar negara. Mereka kerap memasak daging babi, tetapi tetap
menghormati saya dan tidak memasaknya apabila saya berkunjung ke
rumah mereka.
Namun, saya masih ragu-ragu untuk menggunakan pinggan mangkuk di
rumah mereka.
Daripada hukum Islam, jika pinggan dan periuk digunakan untuk
memasak daging babi, adakah ia perlu disamak sebelum
menggunakannya atau sudah mencukupi sekadar membasuhnya dengan
sabun?
Saya keliru kerana ada sesetengah pendapat mengatakan periuk,
pinggan dan mangkuk yang pernah digunakan untuk memasak daging
babi tidak perlu disamak, tetapi yang perlu disamak hanya
berkaitan dengan anjing.
- FARHANA, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Apabila sudah pasti barangan seperti pinggan mangkuk atau periuk
belanga yang digunakan terkena najis berat (mughallazah), ia
perlu disamak terlebih dulu.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sucinya bejana (bekas)
yang dijilat anjing adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh
kali dengan air, termasuk satu yang utama dengan air tanah." (Hadis
Riwayat Muslim)
Penggunaan bahan lain seperti sabun tidak menjadi syarat yang
boleh menyucikan najis berat itu. Tinggal bersama keluarga
beragama Kristian tidak boleh menyebabkan anda meninggalkan
suruhan agama.
Anda perlu memberitahu mereka kehendak agama Islam. Mereka tentu
memahami dan menghormati agama anda. Anda tidak perlu malu untuk
berterus terang.
