CATATAN SEORANG LELAKI


Seorang lelaki misalnya aku.
Tiada wang lebihan untuk dibanggakan
kecuali rumah digadai 20 tahun
kerana pinjaman wang
kecuali sebuah kereta harus dilangsaikan
hutang 5 tahun

kiranya majikan murahkan hati,
barangkali kenaikan gaji 7 %
membenarkan aku membawa diri ke Pulau Langkawi
tentunya bukan ke Plague, kota Milan Kundera
bukan juga ke perairan terumbu karang di luar pantai Queenland.

Sahabat karibku pernah ke Kent.
Menurutnya, pernah terserempak
Keanu Reeves, pelakon Hollywood tersohor
ketika menyelami lautan mengenal tabiat pari-pari
mengenal kumpulan jerung yang dijarangkan
urusniaga sirip sambil menceritakan kehangatan sejagat – Global warming

barangkali membincangkan peperangan menyerang
bumi Afghanistan
perihal anak-anak kebulur dan wanita-wanita kehilangan suami
tentang keluarga dileburi perang
aku turut menonton tayangan CNN
hanya kurang pasti – fakta diputarbelitkan, atau ia kebenaran
kebenaran – seperti kata sahabat karibku KS, “sering memihak
kepada pengertian diri, dan dari sudut mata memandang.”

Seperti ulang tayang kapalterbang melanggar bangunan WorldTrade
di New York, kerana pusat tumpuan dunia
maka berulangkali terungkit, dipertikai,
dan diadakan pendebatan
bagaimana pula api membakar dunia ketiga
hutan terbakar dan manusia mati katak
anak-anak kurang khasiat membuncit perut
dilanggar penyakit entah apa nama

seorang lelaki misalnya aku.
Manusia kecil mendiami sebuah kota
ingin mengumpul wang secukupnya
untuk tidak sengsara di usia tua
mencukupi bekalan anak-anak ke universiti
kiranya ada sedikit lebih – untuk perbelanjaan perkebumian
bukankah semua yang hidup pasti mati?
Untuk itu, seorang lelaki misalnya aku
sertai golongan tenaga kerja
saban hari mencakari perut kota.
 

Nukilan: Lee Keok Chih

 

<< Undur | Galeri Sajak |Maju >>